Syarat-syarat taubat meliputi:
1. Ikhlas ingin bertaubat
Apa saja amalan, walaupun caranya benar di sisi syariat namun bukan kerana Allah, amalan itu tetap tertolak. Begitu jugalah dengan taubat, Allah tidak akan menerima taubat seseorang melainkan ia dilakukan dengan rasa ikhlas hanya kerana Allah semata-mata, bukan kerana manusia atau dunia.
2. Meninggalkan segala dosa
Ia bermaksud meninggalkan segala bentuk maksiat sama ada pernah atau tidak pernah dilakukannya. Hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh untuk menghilangkan akar-akar kemaksiatan yang ada dalam hatinya agar kembali bersih dan suci, meninggalkan segala larangan Allah dan melaksanakan apa-apa yang diwajibkan ke atas dirinya.
3. Menyesal atas dosa yang dilakukan
Orang yang bertaubat hendaklah benar-benar menyesal atas segala kejahatan yang pernah dilakukannya pada masa lampau. Dia merasa sedih di hadapan Allah atas dosa-dosanya dan mengakui bahawa kelakuannya itu adalah perbuatan yang salah di sisi agama.
4. Tidak mengulangi lagi perbuatan maksiat
Orang yang bertaubat hendaklah bertekad untuk tidak lagi mengulangi segala perbuatan maksiat pada masa hadapan. Sesungguhnya taubat yang diselangi dengan pengulangan perbuatan dosa adalah taubat golongan pendusta yang Allah tidak akan ampuni dan memasukkannya ke dalam syurga.
5. Dikerjakan sebelum ajal tiba
Sesuatu taubat itu akan diterima Allah apabila ia dikerjakan sebelum waktu ajalnya, juga sebelum tiba Hari Kiamat. Bila sahaja Malaikat Maut telah datang menjemput, maka taubat pada waktu itu sudah tidak berguna lagi.
“Dan tidaklah taubat orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu diterima oleh Allah hingga apabila ajal datang kepada seseorang di antara mereka, barulah mereka mengatakan: ‘Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.’ Dan tidak pula taubat orang-orang yang mati dalam kekafiran diterima-Nya. bagi mereka telah Kami sediakan seksa yang pedih.”
(An-Nisa’: 18)
Orang-orang yang bertaubat akan beroleh keutamaan yang besar di sisi Allah. Memandangkan taubat adalah salah satu amalan yang paling utama, maka Allah telah menjanjikan kejayaan kepada mereka yang bertaubat.
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”
(An-Nur: 31)
Orang-orang yang bertaubat juga akan diampuni oleh Allah walaupun dia telah banyak melakukan dosa, hatta sebanyak buih di laut sekalipun. Hal ini bertepatan dengan firman Allah:
“Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menyesatkan dirinya sendiri, kemudian ingat akan Allah dan memohon ampun atas dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui.”
(Ali Imran: 136)
Selain itu, pintu rahmat Allah akan sentiasa terbuka kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat, sehinggakan tidak ada apa-apa hijab (penghalang) antara mereka dengan Tuhannya. Dalam al-Quran Allah berfirman:
“Kecuali bagi siapa saja yang bertaubat, beriman dan beramal salih, nescaya mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan tidak disesatkan sedikit jua pun. Iaitu syurga Adn yang telah dijanjikan oleh Tuhan Yang Maha Pemurah kepada hamba-hamba-Nya sekalipun syurga itu tidak nampak, sesungguhnya janji Allah itu pasti akan ditepati.”
(Maryam: 60-61)
Malah, dalam taubat terkandung kemuliaan, iaitu selain keampunan, Allah turut mengirimkan bersamanya rezeki yang melimpah-ruah serta zuriat keturunan yang baik-baik. Firman Allah:
“Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya dia akan mengirimkan kepadamu hujan yang lebat. Dan melimpahkan kepadamu harta dan keturunan, menyediakan untukmu kebun-kebun dan sungai-sungai.’”
(Nuh: 10-12)
Justeru, bagi kita yang tidak pernah bertaubat, berbuatlah demikian selagi nyawa dikandung badan. Bagi yang jarang bertaubat pula, perhebatkanlah taubat kita kepada Allah. Ingatlah, Rasulullah s.a.w. sendiri pun masih tetap memperbaharui taubat baginda pada setiap saat dan ketika walaupun baginda bersifat maksum dan telah dijamin syurga oleh Allah.
Kembalilah kita ke jalan kebenaran, moga-moga kita dapat mengecapi kehidupan di dunia dan akhirat dengan penuh kebahagiaan.

No comments:
Post a Comment